ANDAI perjuangan ini mudah pasti ramai yang menyertainya ANDAI perjuangan ini singkat pasti ramai yang istiqomah ANDAI perjuangan ini menjanjikan kesenangan dunia pasti ramai yang tertarik padanya tapi hakikat perjuangan bukan begitu, turun naiknya, sakit pedihnya, umpama kemanisan yang tidak terhingga - Hassan Al-Banna

Al - Furqan

Labels

Followers

22 June 2009

Tidak mudah lupa khianat Umno terhadap PAS - Nik Aziz


Kini sudah terbukti Umno terlalu mengharapkan polemik kerajaan perpaduan benar-benar menjadi kenyataan.

Media harian yang menjadi alat kepada Umno mengharapkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dengan idea tersebut.

Maka tidak hairanlah apabila ada media membuat tafsiran sendiri Mursyidul Am PAS itu sudah berlembut dengan isu kerajaan perpaduan.

Rencana pengarang akhbar terbabit juga menganggap Menteri Besar Kelantan sudah hilang arah kerana menolak cadangan tersebut.

Sedangkan apa yang berlaku semalam Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjelaskan beliau terus istiqomah membantah cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Menteri Besar menafikan tuduhan yang menganggapnya sebagai degil kerana menolak cadangan terbabit, sebaliknya beliau tetap istiqomah dalam perjuangan.

"Ini kerana istilah degil dimaksudkan mempertahankan sesuatu yang salah di sisi agama, namun sekiranya mempertahankan sesuatu yang benar dan hak, ia bererti istiqomah.

"Orang istiqomah dipuji Allah dan mana-mana mereka yang mempertahankan yang hak itu akan mendapat sokongan daripada malaikat secara berterusan.

"Apa yang saya lakukan hanya sekadar mempertahankan keputusan yang dibuat pada muktamar PAS di Ipoh tahun lalu iaitu PAS tetap akan bersama Pakatan Rakyat," katanya ketika ditemui pemberita di JKR 10 petang semalam.

Menurut beliau sekiranya ada pihak dalam PAS yang ingin mengadakan hubungan dengan Umno dan pada masa yang sama meneruskan hubungan dengan Pakatan Rakyat, ia adalah sesuatu yang kacau.

Bagaimanapun katanya sekiranya hasrat itu ingin diteruskan juga, ia harus dibawa dalam Muktamar PAS terlebih dahulu sebelum dibincangkan di peringkat negeri bersama Pakatan Rakyat.

"Ini tidak, rakan-rakan dalam Pakatan pun marah kepada kita, di mana Lim Guan Eng pernah mengeluarkan kenyataan PAS mesti menjelaskan isu tersebut," katanya.

Beliau juga turut mempertikaikan kenapa pemimpin PAS yang beriya-iya hendak menjalinkan hubungan dengan pemimpin Umno tidak mendesak pemimpin Umno menukar dasar pentadbiran negara kepada Islam.

Katanya PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tidak boleh membicarakan soal bangsa semata-mata kerana Rasulullah saw tidak pernah mengutamakan bangsa Arab.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, PAS sebenarnya telah berjaya meredakan fobia kaum bukan Islam terhadap agama suci itu.

Ditanya impian Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Razak yang mengharapkan kerajaan perpaduan dilaksanakan segera, beliau enggan mengulas lanjut.

"Saya tak mahu cakap apa-apa lagi, saya tidak mahu langsung terlibat dengan Umno, biar dia bercakap dengan orang lainlah, tetapi saya nak jaga parti saya mengikut peraturan.

"Jika silap langkah PAS sama PAS berpecah, PAS dengan Pakatan juga berpecah akhirnya Umno akan berpesta di atas apa yang berlaku itu," ujarnya.

Katanya, PAS selamanya tidak akan mempercayai Umno kerana banyak sejarah yang berlaku tidak memperlihatkan kejujuran pemimpin Umno.

Kata beliau sampai bila-bila pun Umno tidak akan berubah tambahan pula parti itu juga menyingkirkan dengan aib bekas Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Sekiranya Pak Lah boleh mereka tendang, apa lagi PAS yang berada di luar kelompok mereka. Mana ada parti yang sanggup menendang keluar presiden mereka sendiri kecuali Umno," katanya.

Beliau juga mempertikaikan hasrat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu PAS melupakan sejarah silam yang pernah dilalui ketika bersama Perikatan.

"Ia tidak mudah untuk dilakukan. Oh suruh lupa... oh senang aja suruh lupa, adakah manusia boleh lupa. Ingat ni barang automatik. Kalau lupa tak ada sejarahlah dan tak perlu buat sejarah. Lupa lupa begitu saja.

"Untuk bermaafan biar pemimpin parti itu itu mengaku terlebih dahulu kesalahan mereka lakukan sebelum ini," katanya.

Katanya, beliau boleh memaafkan sekiranya pemimpin Umno sanggup berbuat demikian. Bagaimanapun beliau yakin Umno tidak akan berbuat demikian.

0 comments

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails