ANDAI perjuangan ini mudah pasti ramai yang menyertainya ANDAI perjuangan ini singkat pasti ramai yang istiqomah ANDAI perjuangan ini menjanjikan kesenangan dunia pasti ramai yang tertarik padanya tapi hakikat perjuangan bukan begitu, turun naiknya, sakit pedihnya, umpama kemanisan yang tidak terhingga - Hassan Al-Banna

Al - Furqan

Labels

Followers

18 June 2009

Apabila Pas Diuji Dengan Media

"Sejak kekalahan teruk Pas termasuk kejatuhan kerajaan Terengganu pada tahun 2004, kepimpinan Pas telah berusaha keras untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Pas. Aku masih ingat bagaimana TGHH sendiri terpaksa turun ke peringkat akar umbi untuk mengembalikan semangat dan sokongan rakyat khususnya di Terengganu yang agak trauma selepas tewas.

Ketika itu, ceramah-ceramah dan program Pas agak gersang dengan hadirin. Di Kelantan sendiri, TGNA telah mengatur semula gerak kerja selepas menang tipis 2 kerusi dengan menekankan aspek tarbiyyah. Itulah komen pertama beliau selepas kemenangan tipis Pas di Kelantan.

Selepas itu, Pas meneroka medium baru untuk mengembalikan izzah parti dan jemaah serta memperkasakan media penerangan. Ketika itu, lahirnya ramai blogger. Antara yang menjadi rujukan utama ahli Pas ketika itu ialah blog Ust Nasruddin Tantawi. Sehinggalah hampir kepada PRU 12, blogger lahir bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Umno/BN (UBN) pada ketika itu hanya dapat menghidu kekuatan ini ketika masa begitu hampir dengan PRU. Akhirnya mereka mengalami kemorosotan undi dalam PRU 12 yang terburuk dalam sejarah pilihanraya negara. Mereka hilang 5 negeri, hilang majoriti 2/3 dan menteri-menteri mereka banyak tersungkur.

Selepas postmortem, kedua-dua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang mengakui pengaruh besar media elektronik yang membawa perubahan besar politik negara sama ada daripada team blogger, portal politik, laman web dan sebagainya. UBN hampir tumbang akibat pengaruh luar biasa ini. Kini aku melihat Pas sedang diuji benar dengan pengaruh luar biasa ini. Lebih-lebih lagi sebelum muktamar ke 55 tempoh hari.

Walaupun masih ada suara-suara selepas muktamar, nampaknya ia agak kurang berbanding sebelum muktamar. Bagi aku, ujian ini adalah untuk mematangkan dan menaikkan martabat Pas itu sendiri sebagaimana individu yang diuji oleh Allah adalah untuk diangkat martabatnya. Namun begitu, bukanlah maksud aku pimpinan perlu berdiam diri daripada bertindak. Sebaliknya mereka perlu berhadapan dengan tenang dan matang. Aku melihat Pas sekarang diuji dengan 2 isu iaitu Unity Government dan Dialog dengan pihak-pihak lain.

Unity Government (UG)

Ketika kekalutan rampasan kuasa di Perak, TGHH Presiden Pas telah melontar idea Unity Government kepada semua untuk dilaksanakan. Ketika itu Tun Abdullah masih lagi Perdana Menteri. Ramai yang terkeliru dengan istilah ini sehinggalah sekarang. Mereka menganggap bahawa UG ini adalah membawa Pas bergabung dengan Umno ataupun Pas menyertai kerajaan campuran Umno ataupun Pas ‘bersahabat baik’ semula dengan Umno. Termasuklah TGNA yang mungkin terkeliru dengan istilah ini apabila membuat ulasan mengenai UG ini dengan anggapan ia adalah kerajaan campuran.

Ahli-ahli yang tidak bersetuju dengan UG ini bersuara melalui blog masing-masing dan akhirnya keadaan menjadi kecoh apabila dieksploitasi oleh media-media lain. Cybertroopers UBN sudah pasti telah mengambil kesempatan ini dengan menjadi batu api antara ahli yang bersetuju dan tidak. Keadaan menjadi lebih berserabut.

Selepas berbincang dengan AJK Pas Pusat, akhirnya TGHH telah menarik balik idea ini selepas PRK Bukit Gantang. Ia telah disiarkan dalam Harakah dan tvpas.com. Ketika ditanya wartawan mengenai idea ini, beliau menjelaskan bahawa dalam politik ini terdapat 4 jenis kerajaan ;

1.Kerajaan Penuh (Full Government),
2.Kerajaan Perpaduan (Unity Government),
3.Kerajaan Campuran (Coalition Government),
4.Kerajaan Yang Ada Pembangkan (Prime National).

UG bukanlah kerajaan campuran kerana kerajaan campuran ialah parti pemerintah mengajak parti pembangkang dalam pemerintahan dengan syarat-syarat dan terma-terma tertentu. Pas telah berpengalaman dalam kerajaan Prime Nasional seperti yang ada sekarang, begitu juga dengan kerajaan campuran ketika zaman Dato’ Asri dahulu. Pengalaman dalam kerajaan campuran amat memeritkan Pas kerana ditendang keluar oleh UBN dengan tragis sekali.

Sudah pasti idea ini ada pro dan kontranya. Dari segi kontra, ahli Pas sehingga kini agak tidak boleh menerima idea ini apatah lagi bagi mereka yang terlibat terus dengan kekejaman UBN contohnya orang Perak yang dirampas kuasa oleh UBN. Idea ini juga masih tidak dapat difahami dengan baik oleh ahli, ini dapat dilihat apabila ada yang menentang membabi-buta idea ini tanpa merujuk kepada hakikat sebenar UG.

Selain itu, ada juga pendapat mengatakan bahawa masih terdapat banyak lagi alternatif lain untuk dipilih selain UG ini seperti mengukuhkan PR dan sebagainya. Dari segi pro pula, ia dapat dilihat sebagai peluang besar untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat apabila PR diberi ruang saksama dalam kerajaan. UG ini bukanlah bertujuan untuk PR dan Pas berada dalam kerajaan, sebaliknya taktik untuk melemahkan UBN. Seperti kata TGHH, UG ini bertujuan untuk membersihkan kerajaan di mana MP UBN boleh menyanggah pemimpin mereka sendiri sekiranya tidak bersetuju dengan idea-idea tertentu.

Ia juga bertujuan untuk menyeret pemimpin-pemimpin yang rasuah, korup dan sebagainya ke mahkamah. UG ini tidak boleh berlaku begitu sahaja sebaliknya perlu ada langkah-langkah sebelum terlaksananya UG seperti reform SPRM, mahkamah, ISA, kementerian-kementerian dan sebagainya. Desakan-desakan untuk reform badan-badan ini perlu disempurnakan sebelum UG dilaksanakan.


Berdialog & Berunding Dengan Pihak Lain

Isu kedua yang hangat diperkatakan ialah isu dialog dan berunding dengan pihak-pihak lain. Perkara ini disentuh secara langsung dalam muktamar baru-baru ini di mana Pas masih lagi membuka ruang untuk berdialog dan berbincang dengan mana-mana pihak selagimana membawa kepentingan agama dan negara tetapi menolak keras untuk bersama dengan UBN. Orang-orang yang menentang pendapat ini khususnya dialog dengan UBN, menyatakan bahawa Pas tidak perlu lagi melayan UBN kerana UBN telah banyak mengkhianati Pas dalam banyak perkara. Bagi mereka, sejarah telah membuktikannya.

Walaubagaimanapun, banyak pihak bersetuju dengan stand Pas untuk terus membuka pintu dialog dengan semua pihak. Mereka berpandangan kepada prinsip dakwah yang tidak membolehkan kita untuk terus menutup pintu berbicara kepada pihak lain. Lihatlah sahaja ketika peristiwa Fathul Makkah di mana Rasulullah telah memaafkan orang kafir dengan sikap berlapang dada.

Kesan daripada ini, ramai orang kafir yang memasuki Islam. Begitulah jua diharapkan daripada pendekatan dakwah ini, moga ramai yang akan menerima Islam sebagai Din wad Daulah. Aku menyokong stand yang dipegang oleh Pas ini kerana inilah yang menjadi teras utama Pas diterima oleh masyarakat. Gagasan engagement yang dipelopori oleh YB Salehuddin Ayub banyak memberi kesan positif kepada Pas. Begitu juga dengan slogan Pas For All. Lihat sahaja Dato Husam yang pergi menemui Tengku Razaleigh, Chua Soi Lek dan pemimpin UBN yang lain atas kepentingan negeri Perak. Stand Pas ini perlu diteruskan.

Besatu Mengukuhkan Jemaah

Media sekarang sememangnya sedang menguji keutuhan Pas. Bagi Pas, ianya bukan sahaja perlu dihadapi oleh para pemimpinya, sebaliknya juga perlu dihadapi bersama oleh ahlinya. Ahli sepatutnya tidak mudah melatah dengan apa yang didapati dalam media. Ahli perlu menapis maklumat-maklumat. Aku melihat sekarang ada ahli-ahli Pas yang cenderung mengambil panduan sumber yang tidak boleh dipercayai sangat kerana media-media seperti Utusan, Malaysiakini dan Malaysianinsider (sekadar menyebut beberapa) adalah media provokatif yang hanya seronok jika mendapat sambutan yang banyak dari pengguna.

Blog-blog yang menggunakan bahasa yang tidak elok juga patut dihindarkan kerana kita tahu itu bukan dari ahli Pas. Ahli Pas yang mempunyai blog pula, salurkanlah dengan penuh adab dan tatacara ahli gerakan Islam yang faham adab ikhtilaf dan berbeza pendapat. Janganlah diikut orang yang hanya berpegang kepada kebebasan bersuara tanpa ada batasan kerana Islam itu sendiri meletakkan kebebasan bersuara bersyarat !!

Pimpinan pula hendaklah berhati-hati menyatakan pandangan kepada media. Usahlah terlalu banyak menyatakan pandangan peribadi yang agak tidak kena pada waktu dan ketika. Cabaran dunia kini lebih rumit berbanding 5 tahun dahulu.

Sekiranya ada ahli yang tidak suka kepada Unity Government, Dato’ Seri Presiden telah menarik balik ideanya itu. Nah, sekarang majulah kita semua merapatkan saff sebagai jundi. Jangan lagi lemas dengan mainan media yang sedang menguji kita. Aku yakin Pas akan berjaya melepasi ujian ini sekiranya kita tetap dengan akhlak jemaah yang kita semua fahami.

posted by http://ilmuanmuda.wordpress.com/

0 comments

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails