ANDAI perjuangan ini mudah pasti ramai yang menyertainya ANDAI perjuangan ini singkat pasti ramai yang istiqomah ANDAI perjuangan ini menjanjikan kesenangan dunia pasti ramai yang tertarik padanya tapi hakikat perjuangan bukan begitu, turun naiknya, sakit pedihnya, umpama kemanisan yang tidak terhingga - Hassan Al-Banna

Al - Furqan

Labels

Followers

31 August 2010

Umat Islam Selangor tidak mahu kembali terjajah.


Roslan SMS

Bicara tentang Merdeka, bekas MB Selangor yang juga Ketua Pembangkang Khir Toyo melontarkan persoalan serba kaya dengan sindirian di dalam blognya: Merdekakah umat Islam di Selangor?

Hujahnya, kerana PAS Selangor benar YB Teo Nie Ching (ahli parlimen Serdang) masuk ke Surau al Huda Serdang, benar wakil rakyat bukan Islam berceramah (tazkirah), benar DAP beri duit pada orang Islam dalam surau, maka kesimpulannya umat Islam di Selangor tidak merdeka!

Khir sebelum saya ulas, sudah 2 tahun 5 bulan hilang kuasa. 2 tahun 5 bulan dahulu beliaulah pemimpin tertinggi di negeri Selangor ini, beliulah yang meneraju, menetap apa yang baik dan buruk untuk negeri pimpinannya, tiba-tiba disentap takhta darinya sehingga jatuh tersungkur ia tanpa disangka. Mahu rampas kembali takhta tadi, ianya milik rakyat, rakyat yang tetapkan siapa turun darinya dan siapa yang naik duduk. Lalu terkulat-kulatlah Khir antara percaya tak percaya. 2 tahun 5 bulan sudah berlalu, ia masih begitu.

PAS Selangor sudah 2 tahun 5 bulan membentuk kerajaan baru Selangor bersama rakan-rakan dari PKR dan DAP atas nama Pakatan Rakyat setelah kerajaan BN yang akhir dipimpin Khir ditolak rakyat.

Sebagai parti Islam, jelas dasar dan matlamat PAS. Kerja-kerja amar makruf nahi mungkar menjadi keutamaan PAS. Lebih 50 tahun Selangor di bawah BN yang diteraju Umno, tak tahulah samada Islam Merdeka, yang pastinya pada kaca mata ramai, Islam tidak Merdeka tetapi dijajah buat kepentingan Umno.

Masjid dan surau semasa BN dahulu dijajah oleh Umno. Hak ahli-ahli kariah untuk memilih kepimpinan masjid dan surau dibekukan kerana kononnya takut PAS menguasainya. Lalu ditunjuklah siapa yang jadi Nazir dan AJK dan senarai kepimpinan masjid ini perlu disahkan oleh Ketua Umno bahagian, mungkin kerana sudah hilang kuasa Khir lupa bab ini.

JAIS di bawah Khir dan MB sebelumnya telah mengeluarkan suatu senarai hitam. Iaitu senarai penceramah dan pendakwah yang diharamkan dari berceramah dan memberi kuliah di masjid dan surau-surau seluruh Selangor, suatu keputusan yang terang-terang dipengaruhi nafsu politik. Almarhum Dato Ishak Baharum (bekas Mufti Selangor) turut digam oleh Khir dan rakan-rakannya, Merdekakah umat Islam Selangor?

Begitu juga Dato Dr Harun Din (yang kerajaan PR Selangor anugerahkan sebagai Tokoh Dakwah Selangor), Dato Ismail Kamus (anak Selangor yang terkenal dirantau sebelah sini, termasuk memberi kuliah di dalam Istana Sultan Brunei) dan ramai lagi. Siapa yang menjajah umat Islam Selangor ketika itu?

Khir mungkin lupa, masjid dan surau ketika zaman beliau dan MB sebelumnya dengan bebas digunakan buat kepentingan orang Umno. Ketika musim pemilihan Umno, solat hajat, bacaan Yasin diadakan dalam masjid dan surau buat pemimpin-pemimpin Umno.

Kerajaan PR Selangor yang PAS di dalamnya baru berusia 2 tahun 5 bulan, tetapi hari ini kita lihat program-program Islam semakin luas dan terbuka. Masjid Negeri yang indah dan besar itu sekadar dibanggakan dengan keindahan dan kebesarannya di waktu Umno BN memerintah, tetapi hari ini meriah dan makmur dengan program Qiyamullail dan Forum Perdana Bulanan.

Begitu juga melalui program Menyemarakkan Islam Negeri Selangor (PROMISE) tempat awam seperti ruang legar muzium dan perpustakaan digunakan untuk menyampaikan Islam secara santai. Program dakwah ini diharapkan dapat membawa Islam terus ke masyarakat dalam suasana luar masjid dan surau, terjajahkah Islam di Selangor kalau begitu?

Kerajaan PR Selangor memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan Islam. Bilangan anak-anak kita yang hafaz al Quran dipertingkatkan. Institusi tahfiz quran yang dibina dizaman BN, dahulu sekadar keluar beberapa kerat anak-anak yang hafaz Quran,kini dizaman kerajaan baru ini bilangannya dilipat kaligandakan. Begitu juga jumlah anak-anak Selangoryang dihantar ke Timur Tengah turut meningkat jumlahnya.Akademi Imam Selangor ditubuh untuk melatih dan memberikan pengiktirafan kepada bakal-bakal imam yang akan berkhidmat di masjid-masjid di seluruh negeri Selangor khususnya dan amnya di Malaysia. Terjajahkah umat Islam di Selangor?

Dizaman PAS dalam kerajaan ini EXCO dan ADUN serta ahli parlimen yang layak, diberi tauliah untuk berkhutbah dan memberi kuliah di masjid dan surau. EXCO Agama boleh menyampaikan khutbah dan kuliah, ahli Parlimen, ADUN malah ada ahli-ahli majlis PBT dan Ketua Kampung juga begitu. Dizaman PAS dalam kerajaan, Nazir-nazir masjid disyaratkan berupaya menyampaikan khutbah dan memberi tazkirah serta memimpin tahlil. Begitu pun tidak merdeka kah lagi Islam di Selangor?

Di zaman Khir, ada pimpinan yang diseret ke mahkamah kerana tuduhan rasuah, bekas Speaker, EXCO malah MB sebelum Khir pun terperangkap dengan wang tunai berkilo-kilo. Merdekakah umat Islam Selangor apabila pemimpin mereka longgar moral dan akhlaknya? Pemimpin Islam sendiri rasuah dan salah guna kuasa. Siapa yang lupa pada kes ADUN Umno yang bina “mahligai berbelas bilik” di tapak rumah rakyat miskin! Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Negara Umno yang masing-masing punya isteri dan suami tetapi berpelukan berdua-duaan dalam gambar yang ditontoni oleh rakyat! Merdekah Islam kalau begitu?

Adakah kerana YB Teo diundang ke sebuah surau maka umat Islam di Selangor jadi terjajah? YB Teo ke sana kerana diundang JK Surau, dengan maksud memberi bantuan. Wang bantuan bukan datang dari DAP tetapi dari peruntukkan yang diberikan kerajaan negeri. Sebagaimana ADUN MCA dan MIC di zaman BN pun ada yang memberi bantuan di Selangor dulu, janganlah bulan Ramadhan ini lantaran telah hilang kuasa Khir lupa segala-galanya.

Saya ingat pernah mendiang Sivalingam, ADUN MIC di Kuala Selangor beri kain pelikat dan saguhati hari raya kepada AJK Masjid dalam kawasannya, tak pulak umat Islam dizaman BN terjajah di Selangor kerana itu?!

Saya akui YB Teo tidak berpakaian yang sepatutnya ketika beliau berkunjung di surau berkenaan. Beliau mungkin terlepas pandang dan pihak surau mungkin tidak menasihatkan tetapi untuk berlaku adil padanya (kita mesti berlaku adil bukan sesama Islam sahaja Dato Seri, kepada bukan Islam pun kena begitu) sesungguhnya beliau tiada maksud menghina sesiapa. Tidaklah memberi kuliah atau tazkirah, sebagaimana terjahan nakal Khir itu.

Ketika isu ini disensaikan oleh akhbar-akhbar lidah rasmi Umno, saya menerima SMS berikut dari YB Teo:

Pohon nasihat dari PAS bagaimana saya harus mengendalikan isu ini.

Ini membuktikan beliau tidaklah sebagaimana yang mahu dibayangkan oleh Khir dan rakan-rakannya itu, Malah dalam SMS balas saya kepada beliau saya nyatakan dimana beliau mungkin silap dan terlepas pandang, dan menasihatkan agar beliau lebih berhati-hati serta akur dan patuh pada syarat dan garispanduan yang terpakai dalam hal adab rumah ibadat Islam. Beliau akur dan membalas:

Lesson learnt, thank you and salam

Umat Islam di Selangor Merdeka Dato Seri. Kami boleh membawa Islam bukan sekadar untuk difahami oleh orang-orang Islam seperti Dato Seri malah yang bukan Islam pun dapat menerima dan memahami Islam dengan lebih bebas sekarang ini.

EXCO Agama yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor telah menjelaskan dalamsidang akhbarnya di Shah Alam semalam:

Beliau (YB Teo) dijemput masuk ke surau untuk menyampaikan bantuan dan seterusnya menyampaikan ucapan ringkas yang tertumpu kepada usaha Kerajaan Negeri Selangor dalam membnatu pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

Khir menggunakan isu ini untuk meruntuhkan kerajaan PR Selangor. Kononnya DAP yang bukan Islam itu sudah menguasai dan menjajah masjid dan surau di Selangor……aduhai jahatnya andaian itu. Kerana itulah beliau mengandaikan bahawa umat Islam di Selangor kini tidak merdeka. Mungkin Khir menyangka dengan kerja-kerja jahat begitu maka rakyat khasnya orang Melayu akan bangkit memberontak menolak kerajaan PR dan PAS Selangor.

Saya yakin rakyat Selangor yang semakin peka dan terdedah kepada ilmu dan maklumat hari ini tidak mudah diadu-domba dan dipecahbelahkan serta digodam kewarasannya oleh Khir dan rakan-rakannya. Hari ini di Selangor, rakyat menuntut ketelusan, kebersihan dalam kepimpinan dan pentadbiran, sesuatu yang Khir tidak mahu mengaku, tetapi hakikatnya telah gagal beliau tegakkan dizaman beliau. Politik adu-domba dan pecah-belah tiada lagi tempat dihati rakyat.

Rakyat mahu terus hidup merdekatidak lagi terjajah minda dan nasib mereka sebagaimana dizaman Khir dahulu. Selamat berpuasa dan mengejar Lailatul Qadar Dato Seri.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

0 comments

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails