ANDAI perjuangan ini mudah pasti ramai yang menyertainya ANDAI perjuangan ini singkat pasti ramai yang istiqomah ANDAI perjuangan ini menjanjikan kesenangan dunia pasti ramai yang tertarik padanya tapi hakikat perjuangan bukan begitu, turun naiknya, sakit pedihnya, umpama kemanisan yang tidak terhingga - Hassan Al-Banna

Al - Furqan

Labels

Followers

02 July 2011

Anak Exco ditikam: Siasat juga dari sudut politik

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 2 Julai: Pihak polis digesa menyiasat dari segala sudut di dalam kejadian serangan ke atas anak Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Iskandar Abdul Samad di Pulau Pinang awal pagi Rabu lalu.

Anak Iskandar, seorang pelajar semester kedua sebuah IPTA telah ditumbuk, disepak dan ditikam bertubi-tubi di sebuah pangsapuri di Seberang Jaya yang disewanya bersama 2 orang pelajar lain.

Menurut Iskandar, pada lebih kurang jam 3 pagi, lima orang lelaki berjaya memasuki pangsapuri itu setelah mengaku diri mereka anggota Polis.

Katanya, setelah dibenarkan masuk, mereka telah menggari 2 orang rakan anak beliau dan terus menyerang dan menikam anaknya.

"Selepas mencederakan beliau, mereka telah membawa lari komputer riba, telefon bimbit dan dompetnya," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Pada pendapat beliau, menurutnya, kejadian itu bukan kes rompakan biasa kerana ia boleh didasarkan kepada tiga sebab.

"Pertama, mereka datang ke pangsapuri itu bertujuan untuk mencari anak saya dengan memanggil nama penuhnya.

"Kedua, mereka hanya menyerang anak saya dan tidak rakan-rakannya.

"Ketiga, mereka hanya membawa lari barang-barang anak saya dan tidak rakan-rakannya," katanya.

Beliau yang juga Adun Chempaka mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang sedang menjalankan siasatan.

"Saya amat menghargai akan kerjasama pihak polis yang memaklumkan kepada saya status penyiasatan yang sedang berjalan," ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau berharap pihak polis akan menyiasat dari semua sudut termasuk sudut politik.

"Lebih-lebih lagi kita berada di dalam suasana di mana pihak media setiap hari meniup api permusuhan di kalangan rakyat dengan pembohongan bahawa terdapat pihak yang mahu mencetuskan huru hara.

"Mereka juga sentiasa berusaha untuk melaga-lagakan rakyat dengan hasutan-hasutan yang meracuni fikiran mereka," tegasnya.

Walau apa sekalipun motif serangan tersebut, beliau berharap mereka yang bertanggung jawab akan ditahan dan didakwa secepat mungkin demi
keselamatan pelajar-pelajar lain dan masyarakat di Seberang Jaya amnya.

Beliau bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah menyelamatkan anaknya dari kecederaan yang lebih parah.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu anak saya ketika saat yang mencabar ini terutamanya kakitangan institut pengajian tinggi beliau, pihak hospital, pihak polis, rakan-rakan beliau dan orang ramai yang telah sudi membantu," ujar beliau.

by.Harakahdaily

0 comments

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails