ANDAI perjuangan ini mudah pasti ramai yang menyertainya ANDAI perjuangan ini singkat pasti ramai yang istiqomah ANDAI perjuangan ini menjanjikan kesenangan dunia pasti ramai yang tertarik padanya tapi hakikat perjuangan bukan begitu, turun naiknya, sakit pedihnya, umpama kemanisan yang tidak terhingga - Hassan Al-Banna

Al - Furqan

Labels

Followers

19 November 2010

ORANG-ORANG `ABID

Oleh Azizi Abdullah

Dari Pulau Pinang, walaupun boleh dikatakan selalu melalui jalan itu, yang selalu menempuh sesak kereta oleh kerana jalan menemui simpang-simpang, hari itulah pertama kali saya singgah di sebuah surau yang selama ini saya tahu bahawa di situ ada surau.

Surau ini sangat tersorok di tengah kesibukan.


Berhampiran pasaraya, Pejabat Agama Daerah, berjiran dengan kedai roti canai, di belakang ada ibu pejabat Telekom dan sebelahnya pula pusat karaoke. Nyata surau itu sangat tersorok. Ketika saya sampai dekat pasaraya, saya dengar suara azan yang cukup berkarat bunyinya. Saya membelok ke surau itu kerana hendak solat berimam.

Allah memberikan saya kekuatan mentafsir dari pancaindera yang Allah anugerahkan. Kadang-kadang tafsiran saya sangat buruk, membawa saya kepada ‘suk uzzan’. Surau yang saya singgah mulai menyentuh hatinurani saya.

‘Sila tanggalkan kasut’

Hanya itu saja tulisan di dinding surau yang separuh simen separuh papan dan kerangka besi. Kolahnya tidak mampu muat tiga budak-budak hendak berkubang. Ruang sebelah kanan, seakan ruang tempat tidur. Ada meja rendah dan tikar-tikar.

Ketika saya masuk, muazzin yang sangat melengkung tubuhnya, berseluar panjang menyinsing hingga ke betis, ber T-Shirt dan berkopiah putih. Dia meneran suara azannya di kalimah akhir, seolah-olah itulah kali terakhir dia memberitahu, solat akan bermula, segeralah datang.

Surau itu beruang sempit. Untuk satu saf hanya sepuluh orang dan mampu tiga saf sahaja. Sejadah nampaknya lusuh, berkedut dan berkeremot. Tingkap dialas dengan renda dan kain langsir yang saya kira ia bukan dibuat khas, tetapi hanya dari kain-kain yang terbuang atau kitar semula.

Tapi muazzin sangat patuh. Saya dapati ia sangat khusyuk dan setia menunggu jemaah lain. Teragak-agak dia hendak qamat kerana bimbang tidak ada imam, sedangkan saya berniat, kalau dia qamat juga, sayalah akan jadi imam.

Akhirnya muazzin itu qamat apabila seorang lelaki berseluar panjang, berkemeja dan bersongkok putih ke hadapan tempat imam.

Saya sangat terasa kelainan solat di sini. Hanya ada dua belas makmum selepas imam selesai membaca doa iftitah. Saya tersentuh melihat imam dan muazzin bersolat. Mereka bagaikan sang musafir yang tidak membawa apa-apa. Surau yang robek dan buruk itu, mereka luluhkan dengan bacaan khusyuk dan ternampak mereka meredai seluruh kehidupan mereka.

Rupa-rupanya mereka berdua adalah abdi surau itu setiap waktu. Seorang tetap menjadi muazzin, seorang tetap menjadi imam yang dalam pemerhatian saya mereka cukup menyedari tugas sukarela mereka perlu dilakukan demi makmum lain.

Saya teringat ketika saya pernah solat di masjid-masjid di kota besar, bandaraya dan masjid sesebuah negeri. Mereka sangat berbeza dengan insan cengkung dengan pakaian buruk di surau ini. Bukan dari segi itu saja, malah saya seakan dapat membezakan, betapa jauh khusyuk, tawadduk, rela dan redho mereka dari mereka yang bersolat di masjid megah, ternama atau masjid mewah.

Mereka tidak seperti yang datang di masjid-masjid besar, yang indah dengan lenggang lengguk, pongah, dengan jubah serban, atau yang datang diiringi pengawal, kemudian yang lain memberi ruang. Mereka sujud tidak seperti sujud ratusan jemaah di masjid besar, di masjid bandaraya atau wilayah. Mereka sujud sampaikan hidung terpenyet ditikar, bukan di atas karpet tebal.

Pastinya sang muazzin dan imam itu tidak menerima apa-apa upah. Tapi doa imam tetap sama, merendah diri, bersungguh-sungguh, mengharap keredaan, meminta rahmat dan keampunan untuk semua, bukan seperti sang khatib di masjid besar berdoa dan meminta pengampunan dari Allah kepada orang tertentu walaupun yang tertentu itu lebih miskin amal ibadahnya dari sang muazzin dan imam ini.

Subhanallah, saya merasakan mereka seperti malaikat. Tapi sayang surau yang saya singgah ini sangat terpencil, di mana malamnya saya mendapat tahu, tapak halamannya menjadi parking pengunjung karaoke yang berhampiran di situ.

Dan apakah yang patut saya lafaz kebanggaan. Siapakah punya kerja seperti ini? Saya terkedu apabila keluar di pintu saya dapati semua kasut-kasut jemaah tersusun rapi dengan kepala kasut mengadap hala keluar.

Siapa punya kerja mulia ini? Sedangkan minggu sebelumnya, saya kehilangan kasut selepas solat Jumaat di Masjid Negeri.

Subhanallah, Tuhan, abid inikah yang mentarbiah makmumnya atau inikah yang dikatakan keberkatan?

Perbuatan menyusun kasut jemaah bukanlah aneh, tetapi ianya tidak pernah berlaku dalam pengalaman hidup saya kecuali satu ketika dulu di Bandar Country Home Rawang, Pusat Jemaah Al Arqam, di mana kalau kita memasuk mana-mana kedai atau rumah, tanpa disuruh atau di arah, keluar saja kita akan dapati kasut kita tersusun elok.

Subhanallah! Inilah tarbiah hasanah dan rupanya ia sampai ke surau terpencil ini.

0 comments

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails