KUALA LUMPUR, 11 Sept: Rancangan sebuah gereja bertapak di Florida, Amerika Syarikat (AS) untuk membakar buku al-Quran sempena ulang tahun tragedi dahsyat 11 September yang memusnahkan Twin Towers di bandar New York, bukan sahaja terus menerima kritikan daripada semua umat Islam, malah masyarakat bukan Islam di seluruh dunia.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dauk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama para pemimpin Islam dan bukan Islam negara membantah keras cadangan paderi yang pernah dibuang oleh gereja Jerman kerana sikap Islamophobianya.
Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata rancangan paderi di Amerika Syarikat untuk membakar al-Quran sebagai sempena ulang tahun kesembilan serangan pengganas ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) sebagai tindakan di luar jangkaan manusia.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, Allah Taala akan laknat jika ada pemimpin agama seperti itu.
Katanya, cadangan paderi berkenaan tidak masuk akal kerana mereka orang berilmu, yang tahu bahawa Islam bukanlah agama pengganas dan golongan ini boleh membuat kajian mengenai agama Islam dalam pelbagai bahasa.
Malah, katanya persoalan siapa yang bertanggungjawab ke atas serangan WTC sehingga hari ini belum dikenal pasti lagi.
“Kalau kata komunis bakar nak bakar al-Quran itu munasabah kerana mereka tiada beragama, sedangkan paderi Kristian adalah orang yang berilmu dan boleh membuat kajian mengenai agama Islam dalam pelbagai bahasa," katanya.
DAP, dalam satu kenyataan akhbar Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng mengutuk sekuat-kuatnya rancangan tersebut dan berpendapat bahawa rancangan tersebut akan menyemarakan lagi kebencian dan keganasan di kalangan orang yang berbeza kepercayaan agama, bukan sahaja di Amerika, malah di negara-negara lain.
“DAP menentang apa jua bentuk permusuhan, jenayah, perkauman dan tindakan melampau agama sama ada ia dilakukan di tanah air sendiri mahupun antarabangsa.
“Kami memilih untuk berdialog, rundingan dan debat daripada keganasan dan pelampau,” kata Lim dalam kenyataannya sambil menyeru semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk mengutuk yang dilabelkannya sebagai ‘gila dan merbahaya’ untuk mencemarkan naskhah kitab suci al-Quran.
Cadangan membakar al-Quran ini dipercayai tercetus apabila masyarakat Islam di New York mahu membina pusat kebudayaan Islam bersama masjid di Manhattan, berhampiran WTC yang menjadi sasaran pengganas sembilan tahun lalu, malah cadangan mereka disokong Presiden Barack Obama dan Datuk Bandar New York Michael Bloomberg sendiri.
Namun, para pemimpin Republican termasuk bekas calon jawatan Naib Presiden Sarah Palin telah menentang habis-habisan idea tersebut dan para pengkritik mengatakan kehadiran bangunan Islam berhampiran dengan WTC akan menyinggung upacara memperingati kematian 3,000 orang sembilan tahun lalu dalam serangan pengganas di bumi Amerika Syarikat.
Meskipun menerima tekanan hebat daripada White House, Presiden AS Obama Barack dan Setiausaha Negara AS Senator Hillary Clinton untuk membatalkan hasrat membakar al-Quran, Pastor Terry Jones, 58 dilaporkan masih berdegil untuk meneruskan niatnya yang didakwa bertujuan untuk memberi pengajaran kepada puak pelampau Islam bahawa pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan karenah mereka.
“Beliau tersalah anggap pokok itu ialah hutan. Rancangan beliau tidak logik dan ia bukan sahaja akan mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, malah turut menjauhkan umat Islam yang sederhana selain turut merosakkan imej agama Kristian yang mengajar pengikutnya tentang keamanan dan sikap menghormati semua kepercayaan,” tegas Guan Eng sebagai reaksi kepada ‘kedegilan’ Tery Jones.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang terus menyifatkan bahawa ilham untuk membakar al-Quran, kitab suci yang menjadi rujukan berbilion-bilion umat Islam di seluruh dunia, adalah melampau dan tidak dapat diterima dan Amerika seharusnya mencegah cadangan untuk membakar kitab suci berkenaan daripada berlaku agar tidak membangkitkan sentimen di kalangan umat Islam terutama ketika mereka sedang menyambut Aidilfitri.
“Cara yang lebih sempurna bagi memperingati serangan September 11 ialah ‘adalah untuk menawarkan perpaduan dengan mereka yang terkena kesan serangan dan berdoa untuk mereka" dengan memastikan bahawa itu tidak akan pernah diulang lagi’” cadang Guan Eng yang juga ahli Parlimen Bagan sambil menyatakan keyakinannya terhadap masyarakat Kristian dan rakyat berbilang bangsa dan kepercayaan di negara ini akan mengenang mereka yang terkorban di tragedi September 11.
“Kita juga harus mengukuhkan keazaman untuk membanteras pengganas dan aktiviti keganasan yang dilakukan atas nama keagamaan.
“Semoga bulan-bulan suci iaitu Ramadan dan Syawal akan membawa bersama keamanan, kegembiraan serta rasa mencintai di kalangan kita semua,” katanya.
Dalam satu perkembangan lain, Pemangku Counselor Politik Kedutaan AS, Jeremy Nathan di Malaysia telah mengirimkan satu email kepada Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad sebagai tanda terima kasih kerana telah sudi menerima panggilan beliau untuk mengulas pendirian AS mengenai rancangan membakar buku al-Quran.
Menurut Jeremy, Nasharudin dan Dr Dzulkefly Ahmad telah memintanya untuk mendapatkan kenyataan rasmi daripada kerajaan AS mengenai pendirian mereka terhadap rancangan tersebut.
“Pada saat ini, kami masih tidak mempunyai kenyataan rasmi, kerana masih dalam proses penyediaan. Namun, pejabat kami telah mengumpulkan koleksi kenyataan dari para pemimpin kerajaan AS mengenai hal ini. Diharap ia memadai buat waktu ini,” jawab beliau dalam emel tersebut.
Dalam emel tersebut, beliau telah memaparkan kenyataan-kenyataan antaranya daripada Peguam Negara AS, Eric Holder dan Setiausaha Negara AS Hillary Clinton.
“Kita duduk bersama pada waktu makan setelah berita hari ini membawa laporan bahawa seorang pastor yang memimpin gereja di Gainesville, Florida, merancang untuk membakar kitab suci Al Qu’ran pada September 11. Saya begitu bersemangat dengan kutukan yang jelas, kutukan tidak berbelah dari pemimpin berbagai agama dari Kristian Evangelical, dari Rabbi Yahudi, serta dari pemimpin sekular terhadap tindakan terkutuk yang memalukan ini. Komitmen kami kepada toleransi beragama bermula dengan pernubuhan negara ini,” Hillary dipetik sebagai mengutuk tindakan melampau tersebut di satu jamuan iftar di Washington DC. |
0 comments
Post a Comment