ANDAI perjuangan ini mudah pasti ramai yang menyertainya ANDAI perjuangan ini singkat pasti ramai yang istiqomah ANDAI perjuangan ini menjanjikan kesenangan dunia pasti ramai yang tertarik padanya tapi hakikat perjuangan bukan begitu, turun naiknya, sakit pedihnya, umpama kemanisan yang tidak terhingga - Hassan Al-Banna

Al - Furqan

Labels

Followers

03 October 2009

Pertikai syariah, NGO tuntut Sisters in Islam disiasat
Harakahdaily
Sat | Oct 03, 09 | 10:29:35 am MYT
GEORGETOWN, 3 Okt: Forum Penyelarasan Umat Pulau Pinang (Forum), pertubuhan bukan kerajaan dianggotai hampir 30 pertubuhan Islam di negeri ini menuntut Sisters and Islam dan pertubuhan lain yang mahu hukuman syariah dihapuskan, disiasat kerana menghasut. Wakil Forum, Mohd Hafiz Nordin, yang juga naib yang dipertua 2 Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang berkata, Forum menuntut Sisters in Islam dan pertubuhan terbabit disiasat kerana menghasut melalui tuntutan mereka dalam memorandum yang diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

"Tindakan Sisters in Islam dan pertubuhan-pertubuhan terbabit ialah satu tindakan menghasut dan mencabar kuasa raja-raja Melayu kerana syariah ialah bidang kuasa raja-raja," katanya kepada Harakahdaily selepas membuat satu laporan polis terhadap kumpulan terbabit di balai polis Jalan Pinang di sini.

"Sisters in Islam sudah bersikap biadap dan melampau kepada umat Islam dan hukum agama yang telah ditetapkan. Tindakan mereka juga adalah satu usaha memperkecil-kecilkan undang-undang syariah yang sedia ada," katanya lagi.

Sisters and Islam dan kumpulan lain yang membentuk Jawatankuasa Tindakan Bersama bagi Kesamarataan Gender (JAG), dalam memorandum bertajuk Keadilan untuk Kartika kepada perdana menteri pada 25 Ogos lalu menggesa kerajaan menilai semula hukuman sebat yang didakwa mencabul prinsip hak asasi manusia antarabangsa.

Menurut kumpulan itu, keputusan mahkamah menjatuhi hukuman rotan ke atas Kartika "menjejaskan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara Islam moderat."

Menurut memorandum itu lagi, hukuman itu menyebarkan lagi kepercayaan bahawa Islam ialah agama yang mendiskriminasi wanita.

Kumpulan itu juga membuat satu kenyataan bersama 30 September lalu mempersoalkan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno yang mengaku bersalah meminum arak.

JAG yang ditubuhkan di tengah-tengah kekecohan berhubung isu sebat Kartika disertai Sisters in Islam, Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Persatuan Tindakan Wanita (Awam), Pusat Wanita bagi Perubahan, Pulau Pinang (WCC), Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam).

Dalam kenyataan bertarikh 30 September itu, JAG menuntut supaya "kerajaan persekutuan dan negeri menjalankan semakan menyeluruh ke atas semua undang-undang berhubung kesalahan-kesalahan jenayah syariah" dan mempertimbangkan untuk membatalkan undang-undang tersebut.

JAG juga mendakwa hukuman sebat berdasarkan undang-undang syariah sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah.

Kenyataan itu juga turut mengaitkan hukuman sebat Kartika itu dengan amalan pembakaran balu dalam agama Hindu.

Semalam, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dalam satu kenyataannya mengecam Sisters in Islam yang didakwa melampau, berniat jahat terhadap undang-undang syariah dan biadab.

Nasrudin menyifatkan kumpulan liberal itu sebagai bersikap selektif dalam kritikan mereka berkaitan hak asasi manusia.

Menurutnya, kumpulan terbabit "hanya peka terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah syariah, kononnya hukuman itu kejam dan menjatuhkan maruah serta bercanggah dengan hak asasi manusia, sedang mereka tidak bersuara apa lagi menentang hukuman sebat yang dijatuhkan oleh mahkamah sivil ke atas pesalah dalam pelbagai kes jenayah dalam negara kita."

Nasrudin juga mencabar Sisters in Islam untuk berdebat secara ilmiah mengenai isu hukuman syariah tersebut.

"Kami sedia turun dalam apa jua medan atau forum , wacana atau debat dan dialog atau bahas . Sila anjurkan dan kami akan hadir," tegas Nasrudin.

Kartika dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu selepas mengaku salah minum arak di khalayak ramai di sebuah hotel di Pahang pada 11 Julai tahun lepas.

Kartika bertegas untuk dikenakan hukuman sebat itu walaupun selepas perdana menteri menggesa beliau merayu hukuman itu.

Pelaksanaan hukuman sebat ini dan debat hangat berkaitan menjadi tumpuan media asing, yang memberi gambaran penindasan terhadap wanita melalui hukum Islam dalam laporan mereka.

0 comments

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails